AMPANG – Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkmah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan menipu rakan penyanyi rock tanah air, Datuk Awie untuk membeli tiket konsert yang tidak wujud pada Oktober lalu.
Tertuduh, Norhayati Maslinda Chew Asmawie Chew, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistert Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdaya penganjur acara iaitu Murbarak Akthar Mohd Aris, 52, dengan mendorong mangsa untuk membeli tiket konsert ‘Unplugged Living Legend’ yang tidak wujud untuk menyerahkan harta iaitu wang ke akaun Bank Islam milik tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mulia 2/3, Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, di sini, pada 24 Oktober lalu sekitar jam 10.30 malam.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak bekerja itu hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff pada jam 9.45 pagi dengan berbaju kurung berwarna hijau.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguamnya, Mohamed Baharudeen merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan, anak guamnya perlu menyara empat orang anak yang berusia 24 hingga lima tahun.
“Suaminya sudah meninggal dunia pada 18 Januari lalu dan kini tidak bekerja, selain mempunyai penyakit slip disc,” katanya.
Normaizan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 21 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette