KUALA LUMPUR – Perusahan kecil sederhana, entiti yang terlibat dalam pembangunan perisian, syarikat telekomunikasi dan pusat data sepatutnya dikecualikan daripada kesan kenaikan tarif elektrik kerana langkah itu akhirnya akan diturunkan kepada pengguna.

Pengerusi Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (Pikom), Ong Chin Seong berkata, pihaknya beranggapan kenaikan kadar surcaj itu akan menghalang syarikat multinasional (MNC) berpotensi daripada beroperasi di Malaysia dan juga boleh menggalakkan MNC sedia ada untuk mencari di tempat lain.

Kebimbangan ini mengambil kira banyak syarikat masih bergelut untuk membina semula perniagaan selepas wabak Covid-19.

Tambahan pula, kenaikan harga elektrik akan menyumbang kepada inflasi, katanya.

PIKOM ialah persatuan digital dan teknologi terbesar di Malaysia yang mewakili lebih 1,000 ahli termasuk perusahaan teknologi besar, PKS teknologi, penskala besar awan, pembangun perisian, syarikat telekomunikasi, pusat data, syarikat keselamatan siber dan syarikat perkhidmatan kongsi.

Chin Seong berkata, walaupun Pikom menyokong usaha kerajaan dalam pemulihan ekonomi dan melihat kepentingan rakyat, namun ia berharap perkara yang sama turut diberikan kepada para pemain utama industri.

PKS, telko dan pusat data adalah penting kerana ia menyokong pertumbuhan pasaran domestik sambil memacu inisiatif pendigitalan negara.

”Sekiranya kenaikan elektrik diperkukuh, kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk merangka pelan subsidi atau menaikkan kenaikan itu dengan fasa yang lebih strategik seperti meletakkan ambang jangka masa termasuk rebat cukai untuk syarikat yang membayar tarif yang lebih tinggi.

“Kami juga perlu mempertimbangkan pelabur seperti cloud hyperscalers yang menggajikan ramai tenaga kerja tempatan kami yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Oleh itu, menurut beliau, kenaikan kadar surcaj ini akan menggalakkan mereka berpindah dan mencari tempat lain.

Kerajaan juga boleh melihat ini sebagai pendekatan untuk menyamakan kedudukan boleh bersaing bagi PKS, syarikat besar dan MNC, tambah Chin Seong. – MalaysiaGazette