KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur menduduki tempat kedua antara destinasi paling sohor dalam 10 destinasi global pada suku ketiga, mendahului destinasi-destinasi pelancongan popular yang lain, menurut Airbnb.
Tempat teratas ialah Kuta, Indonesia, diikuti Itapema, Brazil; Angra dos Reis, Brazil; Bangkok, Thailand; Sydney, Australia; Singapura; Málaga, Sepanyol; Melbourne, Australia dan Bandar Pattaya, Thailand
Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, pembukaan semula lebih banyak negara tahun ini telah mencetuskan permintaan yang tinggi dalam kalangan pengembara antarabangsa yang ingin berhubung semula dengan orang tersayang atau melawat kembali destinasi kegemaran mereka.
Ianya amat mengujakan kerana Malaysia, dengan pelbagai tawarannya yang luar biasa, daripada alam semula jadi yang menakjubkan kepada budaya yang kaya dan sajian yang lazat, merupakan pilihan utama pengembara antarabangsa apabila perjalanan kian memulih.
Walaupun minat untuk melancong ke luar negara meningkat pada tahun ini, perjalanan domestik tetap popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ipoh meraih tempat teratas sebagai destinasi #1 paling popular di Airbnb dalam kalangan rakyat Malaysia pada suku ketiga tahun ini diikuti dengan Kuching, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Genting Highlands.
Selaras dengan revolusi perjalanan terbesar yang pernah dilihat dunia, Airbnb telah mencipta cara baharu untuk pengembara mencari penginapan percutian mereka melalui Kategori Airbnb.
Dengan lebih 300 juta paparan di seluruh dunia sejak pelancarannya pada bulan Mei, lima kategori Airbnb tertinggi di Malaysia mengikut median pendapatan pada suku tersebut ialah pemandangan hebat, bermain golf, kolam hebat, tepi pantai dan tropikal.
Berikutan keinginan untuk melancong yang kian meningkat, lima destinasi menjadi pilihan rakyat Malaysia iaitu Bangkok, Thailand; Paris, Perancis; Melbourne, Australia; London, United Kingdom dan Seoul, Korea Selatan. – MalaysiaGazette