Mahkamah Kuantan

KUANTAN – Seorang pemilik syarikat mengaku bersalah atas kesalahan menggelapkan duit pakej umrah bernilai RM168,740 pada kejadian 1 Disember 2019, di Kuantan

Mohd Nizam Noh, 49 tahun, mengaku bersalah di hadapan hakim Datuk Mohd Zamzani Mohd Zain di Mahkamah Seksyen 2, Kuantan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menerima 21 transaksi kemasukan wang yang dibuat oleh jemaah umrah bermula pada 23 September hingga 5 November 2019 bagi pembayaran pakej mengerjakan umrah.

Pakej umrah berkenaan dikendalikan di bawah syarikat Massniam group Travel & Tours Sdn Bhd yang dimiliki oleh tertuduh.

Mohd Nizam dikesan melakukan pecah amanah ke atas wang tersebut apabila para jemaah gagal menunaikan umrah pada 1 Disember 2019.

Tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan kes disebut semula pada 31 Januari 2023 bagi prosiding lanjut. – MalaysiaGazette