ALOR GAJAH – Hanya berbekalkan sumbangan ihsan orang ramai, tiga beranak di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, di sini, terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan di sebuah pondok dusun buah milik kenalannya.
Malah Hasan Dahlan, 55, terpaksa melakukan sendiri rawatan dialisis akibat masalah buah pinggang dihadapi di pangkin di hadapan pondok kayu yang didiaminya di dusun buah-buahan itu secara percuma sejak lebih sebulan lalu.
Menurutnya, segalanya bermula apabila dia tidak mampu lagi bekerja untuk menyara isteri, Rosminah Hasdawi, 54 dan anak bongsunya, Norsofiah Hasan, 18, beberapa bulan lalu.
“Sebelum ini, memang saya bekerja ambil upah jaga orang tua, tapi bila penyakit buah pinggang semakin teruk sehingga memerlukan rawatan dialisis ditambah pula ada jangkitan kuman pada paru-paru, ia telah membataskan pergerakan.
“Sejak itu, terpaksalah saya kerja kutip barangan terpakai untuk dijual atau ambil upah bersihkan surau dengan gaji yang tidak menentu sehingga tidak mampu lagi membayar sewa rumah walaupun RM250 sebulan sebelum berpindah ke sini bulan lepas,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila ada kenalan yang prihatin sehingga sanggup membenarkannya menumpang di sebuah pondok di tanah dusun buah miliknya secara percuma sejak November lalu.
Namun jelas Hasan, dia masih bimbang memikirkan masa depan anak bongsunya yang tidak mampu berdikari kerana masalah OKU akibat diserang sawan ketika berusia tiga tahun.
“Dua anak-anak juga ada membantu, namun mereka juga ada komitmen dalam keluarga masing-masing membuatkan saya buntu memikirkan masa depan kami tiga beranak yang terpaksa menumpang ihsan masyarakat setempat.
“Sebelum ini saya bekerja nak bayar sewa rumah RM250 sebulan pun tak mampu, apatah lagi sekarang tidak bekerja dan perlu menanggung kos rawatan dialisis sendiri di rumah RM100 sebulan.
“Itu tak masuk lagi duit makan minum walaupun tak seberapa saya perlu berjimat cermat kerana sedar tidak selamanya mampu hidup dengan menumpang ihsan masyarakat,” katanya yang sudah lebih enam kali berpindah dalam tempoh 20 tahun untuk mendapatkan rumah lebih murah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Hameed Myhtheen Basheer berkata, masalah dihadapi Hasan sudah berada dalam pengetahuannya dan telah menghulurkan beberapa kali bantuan sebelum ini.
“Namun hari ini, kita sekali lagi tampil untuk membantu anaknya berdaftar di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berdekatan.
“Malah permohonan bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diluluskan dan akan disalurkan kepada anaknya bermula Januari tahun depan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0400341100030644 atas nama Norsofiah Hasan – MalaysiaGazette.