Lori jengkaut digunakan untuk menarik kontena yang membawa muatan pati minyak wangi yang terjatuh selepas lori yang membawanya terlibat dalam kemalangan di KM 44.1 Lebuh raya Elite.i

KUALA LUMPUR – Pencemaran bau di Sungai Semenyih berpunca daripada tumpahan cecair akibat kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di KM 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia (kawasan Negeri Sembilan).

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, kejadian itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihentikan pada jam 2 pagi dan LRA Bukit Tampoi 6 pagi tadi.

Menurutnya, jarak lokasi nahas dengan LRA Sg Semenyih sekitar 6.4 kilometer (KM) dan LRA Bukit Tampoi 18 km.

Sementara itu Lembaga Urus Air Selangor berkata, tiada lagi aliran baki cecair yang masuk ke dalam sungai hasil daripada tindakan pencegahannya membina ban pasir di sepanjang aliran pencemaran di dalam longkang terlibat.

Bacaan bau di lokasi pemantauan statik LUAS 1.5 KM daripada muka sauk loji sehingga jam 2 petang ini masih dikesan sebanyak 1 ton dan operasi LRA masih belum boleh dimulakan.

Semakan LUAS di tapak mendapati baki takungan cecair berkenaan di aliran longkang lokasi memasuki Sg Limau Manis dan Sg Semenyih.

Sebanyak 17 tan cecair pati minyak wangi di dalam 17 tangki yang dibawa di dalam kontena tersebut.

Menurutnya, satu daripada tangki tersebut telah pecah, manakala satu lagi tangki telah bocor yang menyebabkan tumpahan.

Kerja-kerja penyedutan sisa cecair berkenaan oleh kontraktor yang dilantik oleh LUAS dan juga bantuan dua lori tangki sedut milik pihak Indah Water Konsortium (IWK), serta pengalihan kontena di lokasi yang diuruskan oleh pihak PLUS telah dimulakan pada jam 2.30 petang dan selesai pada jam 5 petang.

LUAS dan semua pihak terlibat sedang melaksanakan tindakan pemulihan dengan kadar segera, katanya. – MalaysiaGazette