Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneliti terlebih dahulu cadangan untuk membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ada baiknya kerajaan mengambil jalan  melakukan penjenamaan semula terhadap agensi kerajaan itu daripada terus membubarkan GIACC.

“Mungkin lebih sesuai supaya hal-hal berkaitan dengan anti rasuah diserahkan kepada SPRM yang cukup mahir. MCW memohon agar cadangan tersebut diteliti dengan lebih lanjut. Penjenamaan semula mungkin lebih sesuai.

“Hakikatnya masyarakat juga sering terkeliru dengan fungsi dan peranan GIACC. Banyak usaha baik mereka untuk menyelamatkan negara daripada rasuah kurang kedengaran tetapi sejak ditubuhkan pada tahun 2018, agensi inilah sebenarnya yang menggerak usaha governans dan integriti negara.

“Peranan GIACC sangat besar terutamanya dalam memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang berintegriti dan bukannya dikenali sebagai sebuah negara yang mana amalan rasuah berlaku sewenang-wenangnya, mereka cerminan keseriusan  Kerajaan membenteras rasuah terutamanya dalam kalangan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jais mengulas kenyataan Anwar kelmarin yang sedang berkira-kira untuk membubarkan GIACC kerana dilihat berlaku pertindihan tugas.

Anwar berkata,  sekiranya bidang GIACC boleh dikendalikan SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.

Kata Jais lagi, SPRM berperanan menguatkuasakan isu yang berkaitan rasuah dan integriti meliputi semua manakala GIACC pula mengawal selia isu integriti dalam perkhidmatan awam yang tidak bertindih dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bertindak menawarkan kursus dan memberi latihan dan penyelidikan berkaitan isu rasuah.

“Dengan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta yang merupakan tulang belakang negara, GIACC yang dijenamakan semula itu memainkan peranan penting dalam memastikan integriti pentadbiran dan menyokong usaha pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

“Ada baiknya untuk GIACC diperkasa dari sudut hebahan kerana tidak ramai yang faham peranan dan fungsinya. Ada yang menyamai tugasnya dengan kawalan berkaitan kewangan dan perbelanjaan kerajaan semata-mata, hakikatnya tidak begitu.

“Kegagalan memastikan kepatuhan dalam tadbir urus yang baik boleh mengakibatkan berlaku banyak masalah dalam pentadbiran kerajaan, seterusnya memberikan implikasi yang lebih besar kepada negara.

”GIACC yang lebih segar dan agresif pastinya dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap operasi kerajaan dengan sistem nilai lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGGazette