Orang awam memasukkan barangan kitar semula ke dalam Recycling Reverse Vending Machine (RRVM) yang diletakkan di hentian bas Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2. RRVM merupakan mesin automatik bagi barang kitar semula dan setiap barangan kitar semula yang dimasukkan ke dalam RRVM akan memperoleh ganjaran sebanyak RM0.05 (5sen) bagi setiap barang kitar semula. Foto HAZROL ZAINAL, 21 JUN 2022.

KADAR kitar semula kebangsaan dilaporkan meningkat kepada 33.17% pada tahun ini, berbanding 31.52% pada tahun 2021. Peningkatan ini suatu petunjuk positif bagi mencapai sasaran 40% kadar kitar semula kebangsaan pada tahun 2025. Usaha kitar semula giat dijalankan di setiap peringkat masyarakat – sama ada di sekolah, komuniti, pejabat dan sebagainya. Kita boleh lihat aktiviti berkaitan kitar semula diadakan di
mana-mana – sekurang-kurangnya pernah sekali dua hantaran berkenaan aktiviti sebegini muncul di laman media sosial kita.

Kitar semula merupakan agenda dalam ekonomi kitaran, bertujuan memastikan sumber berada dalam kitaran selama yang mungkin. Kitar semula menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, hasil daripada kecekapan penggunaan sumber yang mengelakkan penggunaan sumber baharu. Kesemua ini selari dengan hasrat kerajaan bagi memastikan negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Namun, salah faham mengenai agenda kitar semula boleh menyebabkan impak positif yang diharapkan tidak kesampaian. Banyak mitos seputar hal kitar semula perlu diperjelaskan kepada masyarakat umum. Salah satu mitos tersebut adalah semua jenis bahan boleh dikitar semula. Jawapannya, tidak. Bahkan untuk sisa plastik yang begitu popular untuk dikitar semula sekalipun, tidak semua dapat digunakan semula.

Sebahagian sisa plastik adalah tercemar lalu menyebabkan proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan terlebih dahulu. Hal ini menelan kos tinggi. Mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebahagian sisa plastik seperti polyvinyl chloride (PVC) dan polystyrene (PS) tidak digalakkan untuk dikitar semula. Daripada kaca mata syarikat kitar semula pula, mereka lebih berminat kepada sisa yang berkualiti, iaitu yang telah diasingkan dengan baik dan tidak tercemar.

Oleh sebab itu, sebahagian mereka lebih memilih sisa plastik yang diimport dari negara-negara maju. Di negara berkenaan, sistem yang telah mapan membolehkan sisa yang lebih ‘berkualiti’ dihasilkan. Antara mitos lain adalah kitar semula sesuatu yang menjamin kelestarian alam. Sebenarnya, kitar semula boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar jika strategi pengumpulan dan pemprosesan tidak dirancang dengan betul. Sesetengah proses kitar semula menggunakan tenaga elektrik yang tinggi, terutamanya yang melibatkan penggunaan mesin bersaiz besar.

Terdapat juga proses kitar semula yang menggunakan bahan kimia pencuci atau pelarut, yang mana sisa dialirkan ke punca air. Akibatnya, kitar semula sebenarnya lebih merosakkan alam sekitar. Penilaian kitar hayat perlu dijalankan bagi memastikan aktiviti kitar semula tidak mempunyai kesan sampingan terhadap alam. Mitos seterusnya adalah kitar semula adalah jalan terbaik dalam menguruskan sisa. Secara teknikalnya, tidak. Dalam hieraki pengurusan sisa, kitar semula bukanlah suatu keutamaan.

Kitar semula berada di tempat ketiga, selepas agenda pengurangan (reduce) dan guna semula (reuse). Konsep 3R yang telah diperkenalkan sejak dahulu di negara kita sering kali dibayangi oleh kitar semula semata-mata. Walhal, keutamaan adalah pada pengurangan dan guna semula sisa terlebih dahulu.

Ramai dalam kalangan kita merasakan kitar semula adalah langkah terbaik, maka tiada langsung usaha dibuat untuk mengurangkan sisa. Kita sering menganggap “Tidak apa untuk menggunakan sumber secara berlebihan, nanti sisa boleh dikitar semula.” Ini merupakan suatu pandangan yang perlu diperbetulkan, mengambil kira kitar semula adalah sesuatu yang mahal dan tidak menjamin kelestarian alam untuk jangka masa yang panjang.

Dengan penjelasan mitos-mitos ini, diharapkan kita lebih berhati-hati dalam mengitar semula sisa. Kita harus lebih peka dengan cabaran dunia kitar semula. Kita perlu bersama-sama pihak berkuasa dalam memudahkan urusan kitar semula dengan mengamalkan pengasingan sisa di punca dan mengenal pasti sisa yang berkualiti untuk dikitar semula. Paling penting, usaha seharian kita sebenarnya bukanlah sekadar kitar semula, tetapi perlu mengutamakan pengurangan sisa melalui pengurusan sumber yang cekap.

Tanpa sisa, kita tidak perlu langsung berfikir tentang kitar semula!

Oleh: Dr. Norshah Aizat Shuaib
Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal
Universiti Malaysia Perlis