KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan antara RM3,700 dan RM4,000 berikutan jangkaan pengeluaran rendah, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, peniaga menjangkakan output lebih rendah kerana musim tengkujuh dan keadaan banjir yang semakin teruk di beberapa kawasan ladang, ia boleh membantu menaikkan harga lebih tinggi.
“Trend dagangan akan didorong oleh jangkaan bekalan dan permintaan pada Disember yang diunjur meningkat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata pasaran dijangka menyaksikan beberapa aktiviti pengambilan untung minggu depan untuk dagangan akhir tahun.
“Kami juga menjangkakan untuk melihat jumlah dagangan yang rendah kerana minggu depan akan menjadi minggu dangangan singkat berikutan ramai peniaga bercuti akhir tahun,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM kebanyakannya menjejaki kenaikan yang lebih tinggi dalam niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan jangkaan pengeluaran dan paras stok yang lebih rendah di negara ini.
Pada asas mingguan, kontrak Januari 2023 turun RM61 kepada 3,802 satu tan metrik, Februari 2023 susut RM70 kepada RM3,820 setan metrik, Mac 2023 merosot RM88 kepada RM3,830 satu tan metrik, April 2023 berkurangan RM84 kepada RM3,833 setan metrik.
Mei 2023 berkurangan RM70 kepada RM3,830 setan metrik dan Jun merosot RM62 kepada RM3,815 satu tan metrik.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 238,001 lot daripada 343,073 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 207,324 kontrak daripada 212,841 lot pada akhir minggu lepas.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan berada pada RM3,900 satu tan. – BERNAMA