KUALA LUMPUR – Harimau Malaya berpesta gol selepas membenamkan pasukan Laos dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 malam tadi.
Keputusan itu sekali gus mencerahkan peluang skuad kendalian Kim Pan Gon itu untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan itu.
Bagaimanapun mereka bakal berdepan ujian asid menentang pasukan kebal Vietnam yang berjaya membelasah Laos 6-0 dalam aksi pertama tiga hari lalu di halaman mereka.
Jurulatih Kim Pan Gon menurunkan skuad negara dengan melakukan lapan pertukaran dalam tonggak utama negara yang diketuai Kapten pasukan Muhammad Safawi Rasid dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pada Rabu lalu, dalam aksi menang pertama berdepan Myanmar di Yangon, Pan Gon hanya mengekalkan tiga pemain dalam kesebelasan utama dan merehatkan kebanyakan pemain untuk aksi kedua kumpulan B malam tadi yang menyaksikan skuad kebangsaan menang selesa tanpa membolos gol sekali lagi.
Skuad kendalian Kim Pan Gon kali ini nyaris mengejutkan pasukan pelawat kendalian Michael Weiss pada minit kelima, namun percubaan Faisal Halim bola melantun tinggi.
Tanpa berputus asa Harimau Malaya terus mengasak gawang lawan untuk membuka jaringan pertama.
Kapten pasukan yang mengetuai jentera serangan pasukan Safawi Rasid turut mendapat peluang pada minit ke-22 untuk membuka jaringan namun sepakan yang tidak kuat menyebabkan bola telah selamatkan oleh penjaga gol Keo Oudone Souvannasango.
Namun, usaha skuad untuk mencari gol pertama berhasil pada minit ke-29 apabila Sergio Aguero berjaya membuka jaringan pertama untuk skuad dan juga gol pertama peribadi peringkat antarabangsa menerusi hasil hantaran lintang oleh Nor Hakim pada minit ke-29 perlawanan.
Dengan berbekalkan semangat itu, Harimau Malaya terus mengasak gawang lawan dengan serangan balas bertalu-talu untuk memecahkan lagi gawang pertahanan lawan namun pada minit ke-45 peluang terbaik yang diperolehi pasukan menambah gol kedua menerusi kesilapan pemain Laos At Viengkham yang menolak bola ke arah gawang pasukan sendiri namun berjaya diselamatkan oleh penjaga golnya.
Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada skuad kebangsaan.
Sejurus separuh masa kedua bermula, Pan Gon telah membuat pertukaran dalam skuad dengan memasukkan Brendan Gan dan Lee Tuck menggantikan Mukhairi Ajmal dan Shahrul Nazeem.
Hasilnya, aksi skuad Harimau Malaya atas padang bertambah tajam dan laju dengan mengatur serangan balas di gawang lawan yang mula mencemaskan kekebalan pertahanan pasukan Laos itu.
Ternyata strategi skuad kebangsaan berjaya membawa hasil yang diharapkan apabila Malaysia berjaya membuka gol kedua menerusi Mohamad Faisal Abdul Halim dengan tandukan kencang di hadapan gawang gol lawan pada minit ke 65.
Belum sempat bangkit dari gol kedua yang dibolos itu, Laos sekali lagi dihukum Mohamad Faisal menerusi gol ketiga juga menerusi tandukan kencang pada minit ke-68 perlawanan itu.
Laos kelihatan hilang semangat beraksi selepas dibolos tiga gol dengan Harimau Malaya dengan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya oleh pasukan itu menghukum mereka.
Pan Gon sekali lagi melakukan pertukaran pemain iaitu menggantikan Mohamad Faisal dengan membawa masuk pemain muda Muhammad Haqimi Azim yang berusia 19 tahun.
Muhammad Haqimi tidak mensia-siakan kepercayaan yang diletakkan jurulatihnya apabila pemain Kuala Lumpur City FC itu membalasnya dengan membuka gol keempat untuk pasukan Harimau Malaya menerusi voli kencang pada minit ke-77.
Umpama Harimau yang kelaparan, skuad kebangsaan seolah tidak cukup dengan empat gol itu terus mengasak gawang lawan secara agresif untuk terus berpesta gol tanpa menunjukkan belas kasihan terhadap pelawat itu yang telah dijinakkan 6-0 oleh Vietnam dalam aksi pertama Rabu lalu.
Hasilnya, pemain gantian Stuart Wikin yang dimasukkan menggantikan Sergio Aguero di hujung separuh masa kedua berjaya membuka gol kelima untuk pasukannya.
Di saat-saat akhir perlawanan skuad Harimau Malaya juga memperolehi beberapa peluang menambah jaringan sekali lagi namun gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Keputusan itu sekaligus menyaksikan Malaysia berjaya memunggut enam mata penuh menerusi dua perlawanan dan mengungguli tangga teratas Kumpulan B temasya kali ini tanpa membolos jaringan kepada lawan.
Pada Ahad ini skuad kebangsaan akan terbang ke Vietnam untuk berdepan skuad negara Naga Emas itu dalam aksi ketiga pada minggu hadapan. – MalaysiaGazette