Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Majlis Ramah Mesra di Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Penangguhan lantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra kerana Perdana Menteri mahu melakukan penyelarasan bersama dengan semua badan-badan berkanun, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat di bawah kementerian yang lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyamaratakan semua pelantikan.

“Pengumuman pelantikan semua jawatan GLC itu akan disamaratakan oleh PM pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian oleh beliau sendiri (Anwar Ibrahim).

“Sebenarnya penyelarasan akan dibuat oleh PM terhadap semua jawatan, bukan hanya sekadar satu jawatan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra TPM anjuran Persatuan Penganut Masyarakat India Kuil Sri Kaliamman di Batu Lapan Jalan Bukit Kemuning, di sini petang tadi.

Tambah Ahmad Zahid lagi, pelantikan Ahmad Jazlan akan diumumkan sekali lagi oleh PM sendiri tidak lama lagi, serentak dengan pelantikan untuk syarikat dan GLC lain.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, penangguhan itu telah dimaklumkan kepada  Ahmad Zahid susulan terdapat beberapa kekeliruan dalam proses itu.

“Saya tidak pernah menyatakan ahli politik tidak boleh menjadi pengurusan tetapi mesti terikat dengan syarat-syarat dan mempunyai kelayakan dalam bidang berkenaan,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Katanya, arahan memberhentikan semua lantikan politik sebelum ini untuk memberi ruang kepada kerajaan menilai prestasi mereka dan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Saya telah menangguhkan perkara ini kerana ada isu-isu seumpamanya, satu syarikat kerajaan, syarikat induk itu mengalami masalah kewangan tetapi syarikat kecil itu memperoleh keuntungan besar,” katanya. – MalaysiaGazette