Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sempena cuti perayaan Krismas hari ini lancar dan terkawal.

Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, keadaan lalu lintas dari Lembah Klang menuju ke laluan utama lebuh raya bertol masih lancar.

Begitu juga di selatan, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson masih seperti biasa termasuk di plaza tol.

Trafik secara keseluruhannya masih lancar di sepanjang laluan utama Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 termasuk lokasi sekitar plaza tol.

Bagaimanapun, trafik didapati bergerak perlahan di kilometer 367.1 arah Utara dari Slim River ke Sungkai susulan terdapat kemalangan namun, tiada lorong yang terhalang.

LLM turut memaklumkan, trafik di utara Semenanjung iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang (JPP) serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) turut lancar dan terkawal termasuk di lokasi berhampiran plaza tol.

Pada masa sama, LLM turut menasihati pengguna agar merancang perjalanan masing-masing dengan bijaksana serta memandu dengan cermat bagi memastikan mereka selamat sampai ke destinasi ditujui.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter https://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di https://twitter.com/llmtrafik. – MalaysiaGazette