KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan berhubung tindakan pemaju yang didakwa mengusir mereka keluar dari penempatan di situ.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, Johari Zakari berkata, pihaknya telah menerima notis pengusiran daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar mengosongkan rumah terlibat dalam masa 30 hari daripada sekarang.
Menurut beliau, penduduk bukan menolak pembangunan yang hendak dilaksanakan di kawasan itu tetapi mempersoalkan jumlah pampasan yang diterima yang tidak memadai.
“Daripada lebih 90 penduduk yang terlibat, ada yang ‘diberi’ pampasan dan ada yang tidak menerima sebarang bayaran daripada pemaju.
“Bagi penduduk yang menerima pampasan itu, apabila pergi menuntutnya di Pejabat Amanah Raya, wang tidak ada.
“Oleh itu, kami menyifatkan tindakan ini sebagai kejam dan zalim, tambahan pula kami diberi notis pengusiran yang sangat pendek hingga menyukarkan kami mencari rumah sewa atau membeli rumah baharu,” katanya pada sidang media khas di Pejabat KRT Kampung Bharu hari ini.
Turut hadir Pengarah Komunikasi Parti Amanah yang juga Penasihat Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, Khalid Samad.
Menurut Johari, wang pampasan yang dijanjikan pemaju didakwa langsung tidak setimpal dan tidak masuk akal sama sekali.
Katanya, beliau telah telah mengajukan masalah itu kepada pihak terbabit namun jawapan yang diberikan amat mendukacitakan.
“Saya juga telah merayu kepada mereka agar notis tersebut dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya enam bulan untuk memudahkan penduduk membuat persediaan awal dari segi perpindahan dan juga perkara yang berkaitan.
“Namun alasan diberikan pegawai berkenaan juga sama seperti kami dengar sebelum ini iaitu arahan daripada pihak atasan.
“Bagi saya, Akta Pengambilan Tanah yang digunakan pihak pemaju ini sangat zalim kerana tidak menyebelahi kepada penduduk dan tuan tanah,” katanya.
Beliau berkata, ketika sesi perjumpaan bagi pembayaran pampasan itu, penduduk terlibat tidak diberi ruang secukupnya untuk membela diri dan mempertahankan hak mereka.
Sebaliknya, kata Johari, alasan mereka ditolak sepenuhnya.
“Dengan ini saya dan penduduk merayu dan menyeru kepada Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim) iaitu seorang yang berjiwa besar, berjiwa rakyat dan sangat prihatin dengan nasib rakyat agar campur tangan.
“Kami mahu Perdana Menteri meneliti semula proses pengambilan tanah di penempatan ini dengan memastikan kami mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Khalid pula berkata, penduduk Kampung Sungai Baru yang terlibat dengan projek pembangunan itu akan menghantar memorandum kepada Anwar dalam masa terdekat agar hak mereka terbela. – MalaysiaGazette