Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menggesa kerajaan untuk memberi perhatian serius kepada para usahawan terutamanya daripada kalangan wanita yang terkesan dengan bencana banjir.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kerajan boleh mempertimbangkan dua cadangan pihaknya yang berharap golongan ini tidak disisihkan.

“Kerajaan disaran agar memperuntukkan dana dalam bentuk pemberian geran khususnya kepada usahawan yang terjejas banjir bagi membina semula perniagaan mereka.

“Selain itu, Wanita UMNO mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan skim pembiayaan pinjaman tanpa faedah dengan moratorium selama 12 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihaknya yakin dengan adanya bantuan-bantuan kewangan seperti ini, ia dapat menyokong perniagaan dan usahawan tempatan untuk pulih dan bangkit semula.

“Wanita UMNO juga telah menggerakkan jentera untuk mengumpulkan usahawan-usahawan wanita yang terkesan akibat banjir.

“Kami juga akan memastikan penyaluran bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan sampai dengan sebaik-baiknya kepada setiap usahawan wanita yang terjejas,” kata Noraini.

Terdahulu, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menyambut baik tindakan pantas kerajaan yang telah memperuntukan sekitar RM400 juta untuk menyelaras operasi dan bantuan banjir baru-baru ini.

“Terima kasih kepada institusi kewangan dan institusi pembangunan kewangan yang telah mengambil inisiatif menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan kepada mangsa banjir.

“Pastinya, keputusan dan tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir terutamanya yang mengalami kerosakkan teruk kediaman atau premis perniagaan mereka,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast