Salsabila hilang sejak Ahad selepas meninggalkan homestay yang disewa bersama keluarganya di Sepang.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada empat individu dalam siasatan kes kehilangan seorang gadis remaja sejak pagi Ahad selepas meninggalkan rumah inap desa di Taman Salak Maju, Sepang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, polis masih meneruskan pencarian mangsa berusia 13 tahun yang dikesan menaiki motosikal seorang rakan lelaki tidak dikenali dari rumah inap desa itu.

“Kita masih meneruskan pencarian terhadap gadis itu yang belum diketahui lokasi kedudukannya sejak dilaporkan hilang dari awal pagi Ahad lalu.

“Siasatan sedang dijalankan polis selepas kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Setakat ini empat individu telah dipanggil termasuk ahli keluarganya dan sudah selesai diambil keterangan daripada mereka untuk membantu siasatan kami dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam Wan Kamarul Azran mengesahkan laporan diterima daripada abang gadis itu selepas menyedari adiknya, Salsabila Putri Md Nasir tidak berada di rumah imap yang disewa bersama keluarganya itu kira-kira jam 2.30 pagi pada hari kejadian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis remaja hilang selepas keluar dari inap desa

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperiksa oleh polis di lokasi kejadian menunjukkan Salsabila keluar meninggalkan rumah homestay itu tersebut dengan berpakaian serba hitam dan dilihat menaiki sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki yang tidak dikenali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast