Salsabila hilang sejak Ahad selepas meninggalkan homestay yang disewa bersama keluarganya di Sepang.

KUALA LUMPUR – Seorang gadis remaja berusia 13 tahun dikhuatiri hilang sejak Ahad semalam selepas keluar meninggalkan rumah inap desa (homestay) di Taman Salak Maju, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan mengenai kehilangan perempuan itu daripada abang kandungnya .

“Abang kandungnya membuat laporan polis selepas menyedari adiknya bernama Salsabila Putri Md Nasir didapati tidak berada di homestay yang disewa bersama keluarganya itu kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.

“Siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari lokasi kejadian kehilangan gadis itu menunjukkan Salsabila keluar meninggalkan homestay itu dengan berpakaian serba hitam dan dilihat menaiki sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, abangnya cuba menghubungi telefon bimbit Salsabila beberapa kali namun tidak berjaya.

Jelasnya, dalam siasatan, abang kandungnya turut mendakwa adiknya banyak mengenali rakan di luar menerusi aktiviti permainan dalam talian.

“Abang mangsa bersama keluarganya turut cuba mencari mangsa di merata tempat termasuk di sekitar lokasi berhampiran homestay namun gagal.

“Selain itu, abang Salsabila turut menghubungi rakan kenalan rapat adik perempuannya (mangsa hilang) di Pulau Pinang namun tiada seorang yang tahu di mana adiknya sekarang,” katanya.

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan dan meneruskan penyiasatan terhadap kejadian itu.

“Kes berkenaan telah diklasifikasikan dan disiasat sebagai orang hilang,” ujarnya. – MalaysiaGazette