Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM)  memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menularkan semula komen berbaur perkauman secara provokasi di media sosial atau mana-mana platform lain.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, perbuatan tersebut boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum.

Nasihat itu menyusul selepas pada 26 Disember lalu, polis telah mengesan penularan semula imej tangkap layar komen yang berbaur perkauman melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Siasatan kami mendapati komen provokasi tersebut telah dimuat naik pada bulan Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook “Nazrul Nazari”.

“Namun, ekoran daripada itu, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun telah ditangkap pada 1 April 2022 dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah menurut Noorsiah, suspek turut didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati tangkap layar komen berbaur perkauman Nazrul Nazari itu telah ditular semula oleh orang ramai di media sosial dan diihat sebagai satu perbuatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan semula komen berbaur perkauman itu di media sosial. Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.