PBM Larry
Roger Tan Seng Huat (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Segala perancangan yang telah dibuat oleh Parti Bangsa Malaysia (PBM) kini tergendala akibat sikap Presidennya, Datuk Larry Sng yang didakwa mementingkan diri sendiri.

Bekas Pengerusi PBM Selangor, Datuk Roger Tan Seng Huat berkata, akibatnya, rakyat melihat parti itu sebagai sebuah organisasi yang kucar-kacir.

Menurut beliau, pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PBM pada 1 Oktober lalu, pemimpin-pemimpin parti itu termasuk Larry bersetuju untuk mengangkat Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) secara rasmi.

“Namun, sebelum PRU-15, Larry telah memungkiri janji dan menuntut bahawa beliau masih lagi Presiden sedangkan semua tugas Presiden parti telah dilaksanakan oleh Zuraida.

“Larry langsung tidak terlibat dengan apa jua gerak kerja parti termasuk segala program kebajikan yang banyak dilaksanakan oleh PBM sejak Disember 2021 lagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Krisis dalaman yang melanda PBM bermula apabila Larry dikatakan enggan menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Zuraida yang dilantik sebagai Presiden.

Kelmarin, Zuraida mengecam Larry yang didakwa sering mendedahkan hal-hal kerahsiaan parti dalam media sosial ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan yang berbolak-balik ternyata telah merosakkan imej PBM dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli parti.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu juga kesal dengan kegagalan Larry menunaikan janji untuk menyerahkan tampuk kepimpinan PBM kepadanya.

Bagaimanapun, Larry semalam menyatakan, Zuraida mesti mengiktiraf kedudukannya sebagai Presiden kerana beliau telah menandatangani dokumen yang mengesahkan perkara itu bulan lalu.

Roger menambah, mungkin ‘nasihat’ Larry supaya pemimpin lain dalam PBM bermuhasabah perlu dihalakan kepada dirinya sendiri yang bertindak khianat kepada parti dan tidak langsung mempunyai semangat setiakawan.

Beliau memberitahu, tindakan Larry telah menunjukkan sifat buruk Ahli Parlimen Julau itu sendiri.

“Saya berharap mana-mana pihak yang sedang ‘dipujuk’ oleh beliau untuk bergabung sedar akan perkara ini supaya perkara yang sama tidak berlaku kepada organisasi politik mereka,” jelasnya.

Roger berkata, sifat parasitik seperti itu tidak wajar wujud dalam mana-mana individu, apatah lagi seseorang yang bergelar Ahli Parlimen.

“Semoga Larry segera bertaubat, sebelum karma membalas semula segala perbuatan beliau yang telah merosakkan sebuah organisasi yang ditubuhkan dengan niat yang mulia dan suci ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Moveon.. tubuh parti baru je. Jenama PBM telah ditolak pengundi pru15.. Ada 5 tahun lg utk bina kekuatan. Jika masih bernaung dgn jenama PBM, maka result pru16 nanti tetap sama.

Comments are closed.