KUALA LUMPUR – Seramai 40 pesawah dari Kampung Jawi-Jawi dekat Kota Belud Sabah menyambut akhir tahun 2022 dengan senyuman apabila hasil tuaian padi mereka meningkat lebih 60 peratus.
Mereka yang merupakan pesawah di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Bernas telah menjangkau sasaran apabila tuaian padi untuk musim pertama di Blok 3 dan 4, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan dari 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.
Program SMART SBB bagi musim 1/2022 di kawasan tersebut bermula pada 12 Mei lalu dan merupakan hasil usahasama Bernas bersama Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah dan lain-lain.
Penyelia SMART SBB Kampung Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata, peserta program berkenaan berasa gembira dan syukur atas perolehan hasil yang sebenarnya melebihi sasaran iaitu 4.0 tan metrik sehektar.
“Sawah seluas 42.34 hektar di sini telah ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi telah bermula pada 5 September 2022 dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar,” kata Rajumin Jamrin yang merupakan Ketua Blok Jawi-Jawi.
Menurut Rajumin lagi, para pesawah di situ pada awalnya kurang yakin dengan program SMART SBB, namun setelah dicuba dan dilihat hasilnya, ramai yang mula tampil menunjukkan minat untuk menyertai program berkenaan.
“Kini setelah masuk musim ke-2, mereka secara sukarela mula mengikuti kaedah penanaman yang disarankan oleh BERNAS dan agensi-agensi yang terlibat.
“Selain itu, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperolehi di kawasan ini, kini telah dibekalkan oleh Bernas.
“Ia telah memberikan keselesaan kepada para pesawah di samping menjimatkan masa dan tenaga mereka. Ini semua pasti akan tecapai jika peserta program mempunyai disiplin dan usaha yang berterusan, insya Allah,” ujarnya.
Peserta muda, Hisham Stu yang pertama kali mengusahakan sawah amat berpuas hati dengan pulangan yang diterimanya.
“Sebelum ini, saya memperolehi pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim. Alhamdulillah setelah menyertai SMART SBB bersama BERNAS, ianya meningkat kepada RM6,000.
“Selain itu, kerja-kerja yang dahulunya berat dan merbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti dron untuk membaja dan meracun rumpai.
“Bimbingan dari Bernas dan agensi-agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih efisien,” tambahnya.
Katanya, pencapaian itu ternyata membolehkan para pesawah di sana membayar balik kos operasi mereka, selain menikmati lebihan pendapatan.
Seorang lagi peserta, Duli Okoi berpuas hati dengan hasil dan pendapatan yang diperolehinya bagi musim ini.
Katanya, pematuhan kepada jadual kerja ladang yang teratur dan aktiviti pengurusan ladang yang dilakukan secara bersepadu telah membuahkan hasil yang cukup ketara.
“Kepada para pesawah di Kampung Jawi-Jawi yang masih belum menyertai Program SMART SBB, sertailah kami di musim-musim akan datang,” jelasnya.
SMART SBB mula diperkenalkan pada awal tahun 2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Berdasarkan pencapaian setakat ini, program itu ternyata berada di landasan yang tepat dalam membimbing para pesawah dan memacu perubahan ke arah pembangunan sektor padi dan beras tempatan.
Bernas sedang dalam perancangan untuk membangunkan tanah seluas 127 hektar bersama 86 peserta di Kota Belud, Sabah. Program akan diperluaskan lagi di masa akan datang agar ia dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai pesawah. – MalaysiaGazette