Keadaan seekor anak kambing biri-biri betina yang mempunyai enam kaki dan 'kelebihan' serba dua pada ekor dan punggung ketika dilahirkan di sebuah kandang kambing milik Raihan Ismail, 52 di Kampung Relau, Asahan, Jasin Melaka, Selasa minggu lalu.

JASIN – Seorang penternak kambing di Kampung Relau, Asahan di sini dikejutkan dengan kelahiran seekor anak kambing betina yang mempunyai ‘kelebihan’ serba dua pada kaki, ekor dan punggung.

Raihan Ismail, 52, berkata, dia hanya menyedari anak kambing biri-biri berkaki enam itu ketika hendak mengalihkan ia dari kandang kira-kira jam 8 pagi Selasa lalu.

Menurutnya, haiwan itu yang mempunyai dua kaki hadapan dan empat belakang, dua ekor serta dua punggung dilahirkan pada waktu Subuh di kandang berhampiran rumahnya selepas dia terdengar bunyi anak kambing.

“Waktu itu saya tidak sedar lagi ‘kelebihan’ yang ada pada anak kambing ini sehinggalah ketika mengalihkannya dari kandang baru terkejut melihat ia mempunyai enam kaki, dua ekor dan dua punggung.

“Keadaannya ketika itu sihat dan boleh berdiri cuma baru hari ini nampak ia hanya mampu terduduk sehingga terpaksa dibantu untuk menyusu dengan ibunya yang saya pelihara sejak 10 tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Keadaan seekor anak kambing biri-biri betina yang mempunyai enam kaki dan ‘kelebihan’ serba dua pada ekor dan punggung ketika dilahirkan di sebuah kandang kambing milik Raihan Ismail, 52 di Kampung Relau, Asahan, Jasin Melaka, Selasa minggu lalu.

Menurutnya, kejadian pelik itu adalah pertama kali berlaku sepanjang 15 tahun dia menternak kambing biri-biri yang keseluruhannya berjumlah 15 ekor sebagai sumber pendapatan termasuk melakukan kerja-kerja kampung.

“Walaupun ini kejadian pelik, saya tidaklah membuat sangkaan bukan-bukan kerana ini semua adalah tanda kekuasaan Allah dan akan terus memelihara anak kambing ini selagi ada hayatnya.

“Sebab itu, kalau ada yang nak beli pun dan kena pada harga saya akan menjualnya tapi perlulah dibeli sekali dengan ibunya kerana ia masih menyusu,” katanya.

Tambahnya, walaupun anak kambing yang baru berusia seminggu itu boleh minum susu tepung, dia tidak mahu mengambil risiko kerana ia masih perlukan khasiat pada susu ibunya untuk terus hidup. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast