KUANTAN – Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri tanpa kebenaran di Mahkamah Seksyen 3 di sini hari ini.
Tertuduh pertama, Mohd Isa Mohd Yusof, 36, dikenakan wang jaminan RM130,000 manakala Muhammad Amer Syafeeq sebanyak RM15,000 setelah diputuskan Hakim Maimoonah Aid.
Mohd Isa berhadapan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu manakala Amer Syafeeq berhadapan dengan tiga pertuduhan sama mengubahsuai kandungan ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Negeri Pahang sebagai penerima pingat DIMP dan SSAP dari Sultan Pahang.
Kedua-dua mereka minta dibicarakan atas kesemua kertas pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.
Mohd Isa dan Ameer Syafeeq telah didapati tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 29 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat DIMP dan SSAP dari Sultan Pahang.
Kesalahan terbabit dilakukan oleh tertuduh pertama sebanyak 26 kali bermula pada 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 manakala tertuduh kedua dituduh melakukan kesalahan sama sebanyak tiga kali bermula 18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021 bertempat di Pejabat SUK Pahang.
Mereka didakwa tahu perbuatan tersebut akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan di dalam sistem komputer telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Jika disabit kesalahan dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.
Mohd Isa hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam manakala Muhammad Amer Syafeeq diwakili peguam, Norazmi Kasani.
Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Isa dan Muhammad Amer Syafeeq.
Mohd Isa kemudiannya dikenakan ikat jamin sebanyak RM260,000 merayu dengan mahkamah supaya wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menyara isteri dan dua anaknya.
Mohd Isa kini ditempatkan di jabatan lain turut merayu selain hanya mampu membayar wang jaminan antara RM10,000 hingga RM20,000.
Sementara itu Ameer Syafeeq yang dikenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 menerusi peguamnya meminta agar wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang kini tidak bekerja.
Peguambela memohon budi bicara mahkamah memandangkan anak guam hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM500 hingga RM700 sebulan serta tanggunggan isteri yang sedang mengandung dan mempunyai seorang anak.
Hakim memutuskan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen selain menetapkan wang jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan. – MalaysiaGazette