KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tidak pernah jemu dalam menyebarkan dakwah dan kesedaran terhadap masyarakat Islam tentang tanggungjawab menunaikan zakat dalam pelbagai bentuk.
Bukan sekadar turun padang menyampaikan pengetahuan tentang kewajipan membayar zakat malah PPZ-MAIWP komited menggembeleng pelbagai program mendekati masyarakat dalam menjayakan kempen tersebut.
Terbaru, Kempen Skim Didik Zakat & Simpan SSPN Prime (DZAS) yang berlangsung mulai 1 September 2022 hingga 31 Ogos 2023 antara program baharu yang diterokai PPZ-MAIWP. Ia merupakan satu program dakwah yang berbeza berbanding program-program sebelum ini.
Menurut Pengurus Besar Operasi Dalam PPZ MAIWP, Azlan Shaari, Kempen Skim DZAS yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat pertama kalinya untuk menggalakkan ibu bapa membayar zakat untuk anak-anak mereka apabila cukup syarat berzakat.
Jelas beliau, ini kerana pihaknya menyedari tidak ramai ibu bapa yang maklum tentang kewajipan mengeluarkan zakat untuk simpanan anak-anak mereka.
“Kadang-kadang ibu bapa rasa hanya mereka yang bertanggungjawab membayar zakat, dalam konteks Islam tidak disebut sesudah akil baligh baru boleh bayar zakat, tidak. Hanya disebut orang Islam yang merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan haul.”
“Dalam hal ini kita kena maklumkan kepada masyarakat anak yang berumur 1 tahun pun kena bayar zakat kalau anak ada simpanan yang sudah cukup haul dan nisab.”
“Anak yang ada aset seperti saham yang cukup syarat kena bayar zakat juga. Tidak terikat dengan simpanan sahaja. Emas pun kena bayar zakat. Ibu bapa perlu bayarkan zakat atas anak-anaknya.” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam masa yang sama kempen berkenaan menggalakkan ibu bapa untuk menabung demi masa depan anak-anak mereka.
Katanya, peserta Skim DZAS berpeluang menikmati insentif istimewa dimana PPZ akan memberi Sumbangan Pendidikan sebanyak RM100 setiap tiga tahun sekali yang akan didepositkan ke Akaun Simpanan SSPN Prime peserta sehingga berumur 18 tahun apabila peserta memenuhi syarat-syarat Skim DZAS yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama beliau berkata, pembukaan Akaun Simpanan SSPN Prime untuk anak yang membayar zakat akan ditanggung oleh PPZ dan PTPTN selain sumbangan khairat kematian sehingga RM3,000.
“Kempen ini ditawarkan kepada 5,000 peserta (anak). Daripada jumlah itu, 3,000 peserta terawal yang belum membuka akaun dengan PTPTN dan ingin membuka akaun ketika kempen ini berlangsung kita akan menaja pembukaannya. Untuk buka akaun kena depositkan RM20 dimana PPZ akan taja RM10 dan selebihnya ditaja oleh PTPTN.”
“Akhir sekali pembayar (ibu bapa) juga boleh mendapat rebat cukai pendapatan,” katanya lagi.
Tidak cukup dengan insentif berkenaan, ibu bapa dan anak-anak yang membayar zakat dalam bulan Disember juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi Kempen YEZ 2022 yang sedang berlangsung.
“Sepanjang bulan Disember ini pembayar berpeluang memenangi lebih 500 hadiah cabutan bertuah antaranya Pakej Umrah, Thermomix TM6, pengering baju dan sebagainya. ” katanya lagi.
Tidak menyukarkan ibu bapa untuk membuat pembayaran. Mereka yang ingin membayar zakat untuk anak-anak boleh melakukannya dengan mudah secara dalam talian. Layari www.zakat.com.my.
Untuk maklumat lanjut mengenai Skim ini, layari https://dzas.zakat.com.my/
“Penyertaan terbuka kepada ibu bapa dan anak-anak berumur 15 tahun dan ke bawah. Anak yang berusia sebulan pun masih boleh mendaftar. Penjaga pun boleh mendaftar bagi anak angkat mereka dengan menyertakan dokumen pengesahan yang lengkap,” kata Azlan lagi.
Azlan berharap Kempen Skim DZAS ini juga akan dapat memberi kesedaran dan pengetahuan bukan hanya kepada ibu bapa, sekaligus memberi pengetahuan kepada anak-anak mereka tentang kepentingan berzakat dalam usaha membantu masyarakat Islam yang menghadapi kesusahan.-MalaysiaGazette