Ng Chong Lam, 22, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memukul pekerjanya sehingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan dua tahun lalu

MELAKA – Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul pekerjanya sehingga cedera dengan menggunakan kerusi, kayu dan rotan kerana merakamkan gambar tempat kerjanya sebagai jurujual tambah nilai dalam talian dua tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Chong Lam, 22, selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama tiga orang lagi yang telah dituduh didapati telah memukul seorang lelaki, Chok Kar Jun, 24, sehingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam di sebuah rumah di Jalan Seri Duyong, dalam daerah Melaka Tengah, pada 23 April 2020.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan hanya berpendapatan RM1,000, namun Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.