SEPANG — Juara gusti Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman, mahu pergi lebih jauh di peringkat antarabangsa.

Pemuda berusia 21 tahun yang menggunakan nama Emman the Kid ingin menjadi contoh kepada anak muda tempatan yang mengimpikan menjadi ahli gusti.

“Saya sangat bangga menjadi orang Malaysia pertama memenangi kejuaraan gusti di luar negara dan membawa pulang tali pinggang MCW ini.

“Dengan tali pinggang kejuaraan ini, Emman nak warga Malaysia tahu yang kita pun boleh jadi ahli gusti profesional juga,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Emman yang digelar Golden Boy tiba dari Australia disambut Pegawai Eksekutif My Pro Wrestling (MYPW), Datin Maria Abdullah di balai ketibaan KLIA pada jam 2.55 petang tadi.

Pada kejohanan yang diadakan pada 26 November lalu, dia  menewaskan dua ahli gusti, Mick Moretti dan Adam Brooks.

Bercakap mengenai misi masa depan, Emman berkata, beliau mahu menjadi ahli gusti professional dan membawa nama negara ke persada dunia.

“Saya nak wrestling di Singapura, Thailand, Filipina, Australia dan mana-mana yang Emman boleh bawa tali pinggang ini. Insyallah di Jepun dan Amerika Syarikat juga.

“Emman nak mewakili nama Malaysia dalam sukan gusti seperti WWE (Worldwide Wrestling Entertainment) atau New Japan Pro Wrestling,” katanya.

Katanya, beliau juga berminat untuk menjadi jurulatih MYPW dan membantu pelapis lain mahupun remaja yang ingin menyertai pertandingan ini di masa depan.

Menceritakan pengalamannya dalam MCW, Emman memberitahu, saiz badan lawannya jauh lebih besar, namun ia bukan penghalang untuk menjuarai tali pinggang MCW.

“Emman berat 70 kilogram (kg), tinggi 164 sentimeter (cm). Tetapi orang di Australia, ada yang sampai 100 kg dan tinggi boleh sampai macam pokok, tapi saya memang tak takut.

“Emman akan buat apa yang Emman boleh. Kalau Emman kalah, Emman akan pulang belatih, kalau menang pun tetap akan pulang berlatih lagi,” katanya.

Emman merupakan antara empat pelajar pertama di MYPW ketika memulakan karirenya pada 2014, ketika berusia 13 tahun. Kini, terdapat lebih 20 pelajar di MYPW.

Selepas ini, Emman akan bertanding dalam Singapore Pro Wrestling (SPW) di Singapura pada 27 Januari depan disusuli kejohanan di Thailand sehari selepas itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast