KUANTAN – Seorang guru berputih mata menanggung kerugian mencecah RM100,000 apabila terpedaya dengan sindiket kerja sambilan tidak wujud menerusi aplikasi Telegram.
Guru lelaki berusia 35 tahun pada mulanya berhasrat menambah pendapatan tambahan dengan menerima pekerjaan sampingan melalui aplikasi WhatsApp dengan disertakan pautan di aplikasi Telegram baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa telah menyertai kumpulan Telegram itu pada 22 Disember lalu dan mendapat keuntungan selepas membuat tugasan pertamanya.
“Mangsa seterusnya membuat lagi beberapa tugasan dan transaksi dari 23 hingga 28 Disember lalu di beberapa akaun berbeza dengan tujuan mendapatkan keuntungan lagi.
“Selepas melakukan kesemua transaksi itu, mangsa berasa tertipu kerana masih tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Pekan semalam dan kes itu masih kini dalam siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana dakwaan menipu. – MalaysiaGazette