Isteri wartawan hilang, Syeda ketika bercakap pada sidang media mengenai misteri kehilangan suaminya wartawan dari Pakistan Syed Fawad Ali di Menara Sentral Vista, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada wartawan Pakistan, Syed Fawad Ali Shah merayu bantuan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim campur tangan dalam kehilangan suaminya.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Syeda itu turut merayu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang ramai dan pihak berkuasa di negara ini membantu mencari suaminya yang hilang sejak 23 Ogos lalu.

“Saya sedang melalui fasa kritikal dalam kehidupan saya. Saya memohon bantuan daripada Perdana Menteri, NGO dan orang awam untuk mencari suami saya.

“Kesihatan fizikal dan mental saya amat terjejas sehingga mengalami keguguran kerana risaukan dia, jadi tolong bantu saya,” katanya pada sidang media bersama peguamnya, Waytha Moorthy di sini hari ini.

Menurut Syeda, suaminya tidak dapat dihubungi dan tidak membalas semua mesej pesanan ringkas yang dihantarnya.

“Saya kemudiannya menghubungi rakan baiknya  dan diberitahu bahawa Fawad telah ditahan oleh polis dalam sekatan jalan raya.

“Susulan itu saya datang ke Malaysia pada 19 Disember lalu dan dua hari kemudian pergi ke Balai Polis Daerah Brickfields untuk mencari Fawad.

“Polis menunjukkan laporan penangkapan suami saya pukul 9 malam oleh Jabatan Imigresen dan meminta saya pergi ke Imigresen Putrajaya,” katanya.

Jelasnya, dia telah pergi ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 23 Disember lalu namun pegawai agensi itu memberitahu, suaminya telah dihantar pulang ke Pakistan.

“Saya ada nampak gambar suami berpakaian berwarna ungu gelap di pejabat jabatan itu namun pegawainya tiba-tiba menyembunyikan gambar berkenaan. Pegawai itu kemudian kata saya lambat dan suaminya sudah dihantar pulang ke negara asal.

“Bagaimana pihak berkuasa menghantar suami saya pulang tanpa memberitahu saya dan keluarga? Saya juga minta untuk tunjukkan butiran nombor tiket dan dokumen penerbangan suami tetapi ia tidak dijawab,” katanya.

P. Waytha Moorthy ada sidang media mengenai misteri kehilangan wartawan dari Pakistan Syed Fawad Ali di Menara Sentral Vista, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 DISEMBER 2022.

Sementara itu, Waytha berkata, Malaysia yang juga merupakan ahli PBB harus mematuhi semua prinsip hak asasi manusia.

“Kerajaan mesti menyatakan sama ada ia akan mematuhi kewajipan antarabangsanya untuk menghormati Konvensyen Pelarian 1951,” katanya.

Fawad, 41, pemegang kad suaka UNHCR memohon perlindungan sebagai pelarian daripada agensi itu kerana mendakwa ditindas di Pakistan akibat beberapa artikel diterbitkan dalam akhbar-akhbar berkaitan isu rasuah kerajaan Pakistan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast