Pihak polis dan JPJ melakukan pemeriksaan di Langkawi, Kedah.

LANGKAWI – Polis Langkawi mengeluarkan sebanyak 164 saman atas pelbagai kesalahan ke atas penunggang motosikal yang berkonvoi memasuki pulau peranginan itu melalui Dermaga Tanjung Lembung di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, secara keseluruhannya, kira-kira  300 motosikal diperiksa pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 9 pagi.

Kesemua penunggang motosikal itu tiba melalui tiga perkhidmatan feri kenderaan dari Kuala Perlis ke Jeti Tanjung Lembung.

Saman tertinggi dikeluarkan membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Daripada 164 saman itu, saman tertinggi dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan iaitu sebanyak 70 saman dan diikuti kesalahan tiada cermin sisi (38) serta ubah suai kenderaan (29).

Selain itu, 16 saman turut dikeluarkan atas kesalahan ubah suai ekzos, tiada lesen memandu (13) dan lain-lain, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Shariman berkata, pihak JPJ turut mengeluarkan sebanyak 42 saman dan 55 notis atas pelbagai kesalahan. – MalaysiaGazette