Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meramah mesra dan bersalaman dengan sebahagian jemaah selepas selesai Program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,31 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan berazam untuk mengembalikan dana negara yang ‘dipunggah’ oleh pemimpin terdahulu dipulangkan semula kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pimpinannya akan bertegas untuk menamatkan amalan yang menggunakan kepimpinan politik dan kedudukan dalam kerajaan sebagai “kesempatan untuk memunggah kekayaan”.

“Saya nak nasihat bahawa kerajaan ini akan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan segera kepada rakyat.

“Ia bukan jumlah yang kecil, jika ada kesan peribadi kepada saya, saya akan maafkan. Tapi kalau berterusan, tentulah saya akan ambil tindakan,” katanya dalam Perutusan Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra di Putrajaya malam tadi.

Anwar turut menyebut pihak-pihak itu “pernah menjadi Menteri Kewangan” dan “bekas Perdana Menteri” yang didakwa berbuat demikian.

“Tetapi saya nak nasihat juga rakan-rakan saya yang lain, yang bercakap soal bersih dan hari-hari, saban hari menyerang beberapa tokoh dalam Kerajaan Perpaduan.

“Apatah lagi orang-orang yang pernah menjadi menteri kewangan, perdana menteri yang tatkala mereka berkuasa itu bukan dipungahnya ratusan juta ringgit, bilion ringgit dipunggah.

“Jadi saya nak nasihatkan bahawa kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat. Ini bukan kecil jumlahnya,” dakwa Anwar.   

Kenyataan itu, kata Anwar, adalah maklum balas terhadap serangan yang mengatakan seolah-olah Kerajaan Perpaduan turut terpallit sama dalam hal sedemikian.

“Saya nak sebut bahawa sikap kita jelas, negara ini negara hukum, badan penguatkuasaan diberi kuasa sepenuhnya untuk memantau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette