PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perutusan Tahun Baharu 2023 yang disampaikan beliau di Masjid Putra untuk semua kaum dan agama.
Ia bukan hanya ditujukan kepada umat Islam sahaja tetapi kepada penganut agama lain bagi membendung bibit Islamofobia yang tertanam sejak zaman penjajah di negara ini.
Perdana Menteri berkata, perutusannya jelas untuk semua lapisan masyarakat walaupun ia dizahirkan di mimbar masjid.
“Saya tidak perlu memohon maaf kerana berbicara satu mesej untuk negara dari masjid. Mesej ini adalah kepada orang Islam dan bukan Islam bahawa kita mahu ada peningkatan dalam fahaman agama dalam kalangan Islam dan bukan Islam.
“Jika tidak bibit Islamofobia yang tertaman di zaman penjajah itu mungkin mempengaruhi dan mengelirukan kita, kita harus bezakan dengan usaha untuk meremehkan agama dan satu pihak menjadikan agama itu sebagai faktor kasih sayang kearah kebaikan,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tumpuan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya untuk meningkatkan segala usaha bagi mengukuhkan keyakinan semua pihak terhadap kestabilan negara.
Usaha itu, kata Anwar bagi menjamin kepercayaan dalam sistem politik, tadbir urus dan tatakelola yang lebih baik serta bersih daripada rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Sudah tentunya untuk awal tahun depan kita dapat senarai pelabur dari Eropah, Amerika Syarikat, China dan India serta beberapa negara sekitar ASEAN yang akan hadir melihat sendiri perkembangan di Malaysia.
“Kita harapkan ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.
“Ini perlu kerana Malaysia ini adalah negara perdagangan. Selama ini (negara) mencatat kadar pertumbuhan ekonomi itu adalah berdasarkan usaha kita menerima pelaburan dalam negara dan juga luar negara,” katanya lagi.
Anwar sebelum itu hadir di masjid berkenaan kira-kira pukul 6.20 petang sebelum menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah bersama kira-kira 2,000 jemaah di Dewan Solat Utama Masjid Putra.
Turut menghadiri program pada malam terakhir 2022 itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: