Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat tahun baru semasa menghadiri program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,31 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri memberi amaran kepada mana-mana jemaah Kabinet mahu pun penjawat awam yang bertindak melakukan kecuaian.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini kerana beliau masih mendapati ada kelompok-kelompok kecil yang masih meneruskan budaya ‘lama’ di peringkat pentadbiran.

“Saya beritahu kepada rakan-rakan menteri tadi ada kelompok kecil yang masih cuai dan meneruskan adegan lama mengutip habuan meletakkan kos tambahan dan menentukan ada hadiah besar.

“Saya mohon kerjasama sepenuhnya kerana percayalah saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang telah meroboh dan merosakkan negara kita selama ini,” katanya dalam ucapan Munajat Tahun Baharu di Masjid Putra malam tadi.

Justeru itu, Anwar meminta agar semua yang terlibat faham akan budaya kerja baharu Kerajaan Perpaduan yang ingin dibawanya dalam menangani budaya rasuah di negara ini.

“Saya mohon kerjasama kerana sejumlah besar penjawat awam dan badan penguatkuasaan mengerti dan faham tetapi kelompok kecil ini mesti dihapuskan.

“Mudah-mudahan ada keinsafan untuk melakukan perubahan,” nasihat Anwar lagi.

Anwar pada awal bulan ini menegaskan beliau menolak sebarang pemberian cenderahati kepadanya.

Menurut beliau, budaya itu tidak bersesuaian dengan keadaan semasa negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun sebelum ini turut menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi Perdana Menteri kerana tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas dirinya. – MalaysiaGazette