KUANTAN – Sebanyak 40,262 pendaftaran entiti perniagaan aktif bagi kategori bakeri berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, jumlah pemilikan wanita dalam entiti perniagaan bakeri adalah seramai 26,724 orang.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 17,173 adalah pemilikan wanita Melayu,” katanya pada Majlis Pembukaan Kedai Bakeri Bake With Wawa di Indera Mahkota 7, di sini, hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, kerajaan akan memastikan pengusaha tempatan sentiasa mendapat sokongan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Jelasnya, KBBM merupakan kempen berterusan sepanjang masa bagi melestarikan budaya mengutamakan barangan Malaysia ketika berbelanja, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan.
Selain itu, menerusi Program Pembangunan Produk Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan, Kementerian turut membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan mutu dan kualiti produk mereka.
“Ia sekali gus menjadikan produk PKS mampu bersaing dan seterusnya berpotensi untuk dipasarkan di pasar raya besar dengan penambahbaikan terhadap pembungkusan, pelabelan dan tempoh hayat produk” ujarnya. – MalaysiaGazette
















