LHDN BN
Bangunan LHDN di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2023 telah dimuat naik pada portal rasminya.

Menurut LHDN, dokumen itu adalah sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai untuk mengemukakan BN mereka pada tahun ini.

“Dokumen tersebut boleh diakses dan dimuat turun dengan melayari portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my.

“Klik menu Borang > Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2023,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ia juga boleh dilakukan melalui capaian pantas htpps://www.hasil.gov.my/media/mpofkuqz/programmemfailbn_2023.pdf (bahasa Melayu) atau https://www.hasil.gov.my/media/esmb4d1/rffilingprogramme_2023.pdf (bahasa Inggeris).

LHDN menambah, pembayar cukai dan para majikan adalah digalakkan untuk menggunakan kemudahan e-Filing (https://mytax.hasil.gov.my) bagi pengemukaan BN yang akan menjadi medium pengemukaan borang sepenuhnya pada masa hadapan.

Bagi ejen cukai pula, mereka digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan TaeF (https://taef. hasil.gov.my) bagi pengemukaan BN.

“Bagi memudahkan dan menjimatkan masa pekerja mengemukakan BN melalui e-Filing, majikan digalakkan untuk mengemukakan data saraan pekerja tahun 2022 melalui aplikasi e-Data Praise/eCP8D,” jelasnya.

LHDN memberitahu, data saraan yang diterima akan digunakan bagi tujuan praise e-borang pekerja (e-BE / e-B / e-BT / e-M / e-MT tahun taksiran 2022).

Katanya, pengemukaan data saraan pekerja tahun 2022 boleh dilakukan melalui portal MyTax di https://mytaxhasil.gov.my > Perkhidmatan ezHasil > e-Data Praisi/e-CP8D bermula pada 1 Januari 2023 sehingga 25 Februari 2023.

“Majikan boleh merujuk kepada format terkini susun atur maklumat e-Data Praisi/e-CP8D bagi tahun saraan 2022 yang dilampirkan bersama program memfail BN 2023 bagi tujuan penyediaan data saraan pekerja,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dikemukakan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000, HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL. – MalaysiaGazette