Seorang penunggang motosikal maut terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita maut ditempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pandan, Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Hadi Mohamad berkata, dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa Nurhazliza Hashim, 31, terperosok di bawah lori tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori 1 tan jenis Daihatsu dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

“Terdapat seorang mangsa (penunggang motosikal) berada di bawah lori tersebut dan disahkan telah meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak KKM.

“Enam anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘stretcher’ sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tersebut selesai pada jam 10:39 pagi. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast