KUALA LUMPUR – Usia 62 tahun tidak menghalang seorang warga emas, Katiravan Subarayan memulakan pengembaraan solo mengelilingi dunia dengan menaiki motosikal berkuasa besar ke 106 negara selama 20 bulan bermula hari ini.
Beliau yang juga pesara berlepas dari Batu Caves menunggang motosikal jenis BMW R 1200cc GSA itu ke Singapura dan seterusnya ke Indonesia melalui pengangkutan laut.
Setibanya di negara itu nanti, Katiravan yang menggunakan motosikal berkuasa besar yang dinamakan Parameswara itu akan meneruskan perjalanan ke Timor Leste sebelum ke Australia dan New Zealand.
Dari situ, bapa kepada tiga anak ini akan menjelajah Rusia, Mongolia dan 41 negara lain di Eropah.
Beliau juga akan ke Maghribi, Kanada, Amerika Syarikat, Alaska, Amerika Tengah, Amerika Selatan, Afrika Utara dan Timur Tengah, Asia Tengah sebelum kembali ke Asia Tenggara dan pulang ke Malaysia.
“Saya akan menunggang motosikal melalui 70 peratus laluan darat dan 25 peratus membawa kenderaan itu melalui pengangkutan udara dan laut apabila tiba masanya untuk menyeberangi lautan.
“Keseluruhan perjalanan itu meliputi kira-kira 110,000 hingga 120,000 kilometer (km) dan dianggarkan mengambil masa hingga 20 bulan.
“Sepanjang perjalanan nanti, selain mahu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha menentang pemanasan global dan perubahan iklim saya juga mahu menghebahkan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk berbilang kaum yang hidup aman dan damai di semua destinasi yang saya singgah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelepasan pengembaraannya itu oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat India kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ramesh Rao di sini hari ini.
Sebelum ini, Katiravan memiliki pengalaman dalam pengembaraan motosikal memandangkan dia pernah menyertai perjalanan solo selama 64 hari melalui tujuh negara Asia iaitu Thailand, Myanmar, India, Bhutan, Nepal, Pakistan dan Bangladesh.
Mengulas lanjut, mengenai motosikalnya, Katiravan berkata, beliau menamakannya Parameswara kerana merupakan anak jati Bukit Asahan, Melaka.
Jelas beliau, kenderaan tersebut dibeli pada 2017 dan dilengkapi dengan pemanas tangan, peranti GPS, dan fungsi auto-cruise.
Ia turut memiliki tayar tanpa tiub yang diimport dari Jerman, dan tangki 30 liter untuk perjalanan sejauh 600km.
“Memandangkan pengembaraan ini menelan kos sehingga RM600,000, saya perlu berjimat dengan berehat dan menginao pada waktu malam di hotel yang berpatutan,” katanya yang juga bekas pengurus penyelenggaraan.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya, Katiravan mengakui, masalah bahasa dan kerenah imigresen di sempadan yang kadang kala boleh menjadi rumit, antara halangan yang bakal ditempuhi.
Pada masa sama, beliau berkata, beliau turut berdepan masalah mencari penaja dan terpaksa menjual salah satu hartanah yang dimiliki untuk menampung perbelanjaan perjalanan itu.
Katiravan turut berkongsi persediaan mental dan kesihatan untuk kekal cergas dengan berjoging dan bersenam secara konsisten.
“Saya ingin buktikan kepada orang ramai terutama kepada anak muda bahawa pengembaraan ini boleh direalisasikan.
“Apa yang penting, jangan ikut perasaan di waktu usia muda bagi mereka yang gemar menunggang motosikal besar. Pastikan kita memiliki karier yang bagus dan menyelesaikan semua hutang untuk mencapai apa yang ingin dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette