Mekanisme baharu perlu diperkenalkan dalam mengawal harga barangan keperluan.

KUALA LUMPUR – Peniaga berpendapat kawalan harga dan penetapan harga siling telah menyebabkan telur, gula putih, minyak masak dalam paket dan tepung selalu berlaku kekurangan di pasaran.

Susulan daripadanya, peniaga juga berpendapat kerajaan harus menilai semula mekanisme kawalan harga yang sudah ketinggalan zaman.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, semua barangan yang berdepan kekurangan pada masa ini adalah barang kawalan termasuk telur, gula, minyak masak berpaket dan tepung.

Katanya, barangan yang harganya tidak dikawal pula mempunyai stok yang cukup.

Jelasnya, kekurangan berlaku kerana harga barang kawalan yang lebih murah mendorong pembeli menumpu perhatian untuk membeli barangan berkenaan.

“Pembelian barangan murah merupakan sifat semula jadi pengguna dan peniaga tidak boleh mengawal trend ini.

“Walaupun peniaga menetapkan satu keluarga hanya boleh membeli tiga paket minyak masak, tetapi terdapat ramai ahli dalam satu keluarga dan mereka juga boleh membeli di kedai-kedai berlainan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Chee Meng berkata, walaupun bekalan minyak masak bersubsidi telah ditingkatkan daripada 60,000 tan sebulan kepada 70,000 tan sebulan, tetapi barang itu masih kekurangan stok.

Katanya, keadaan itu adalah tidak munasabah kerana berdasarkan populasi Malaysia sebanyak 32 juta orang, keperluan minyak masak hanyalah 45,000 tan sebulan.

Tambahnya, lebih 20 peratus keluarga juga tidak menggunakan minyak bersubsidi, tetapi membeli minyak berjenama lain.

“Oleh itu, kenapa 70,000 tan minyak masak masih tidak mencukupi?

“Ini merupakan soalan matematik yang mudah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu menilainya,” kata Chee Meng.

Beliau mencadangkan kerajaan menilai untuk menggerakkan harga terapung mengikut pasaran, tetapi menyediakan kupon pembelian atau kupon diskaun kepada golongan sasaran.

Ujarnya, cara itu lebih dapat membantu golongan B40 dan lebih berkesan untuk mencapai penghapusan kemiskinan. – MalaysiaGazette