Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menutup sebelah mata berhubung insiden jurulatih bola tampar skuad wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar dua pemainnya.

Menerusi ciapan di Twitter Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sukan wajib menjadi ruang selamat dan positif.

“@KBSMalaysia tidak akan tutup mata dalam hal-hal sebegini,” ciapnya.

Menurut Adam Adli, sukan bukanlah ruang untuk melakukan kekasaran, pembulian mahupun pencabulan malah, ia bukan juga ruang untuk melakukan apa sahaja perkara seumpamanya.

Semalam tular satu klip video membabitkan jurulatih pasukan berkenaan yang menampar dua orang pemain di Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Perkara sama turut dibangkitkan bekas, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berkata jurulatih terbabit tidak perlu bertindak kasar.

Katanya, jika perkara berkenaan tidak diteliti insiden seperti itu akan sentiasa berulang.

“Ia akan meninggalkan kesan negatif ke atas kanak-kanak, pendidikan, kesedaran dan pemantauan berkesan penting untuk memastikan sikap saling menghormati antara atlet, jurulatih dan pentadbir,” ciapnya di Twitter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast