Gambar tular seorang jurulatih bawah 14 tahun Melaka menampar dua remaja perempuan ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertemu dengan ibu bapa dua murid yang ditampar oleh jurulatih Pasukan Melaka Bawah 14 Tahun (wanita).

Dalam kenyataan, KPM berkata pihaknya memandang serius insiden yang berlaku dan mahu mendapat maklumat lanjut daripada ibu bapa pelajar terbabit dalam pertemuan yang akan diadakan.

“KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden tersebut.

“Pada masa sama, KPM juga akan meneruskan sisasatan bagi tujuan tatatertib dan jika didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.

Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Media kemudian melaporkan, Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) telah mengantung tugas jurulatih terbabit daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

“Mava sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Mava,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.

Beliau berkata, laporan penuh berkenaan isu itu akan menyusul dan kementeriannya turut memohon saksi untuk tampil bagi memberi keterangan.

“Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter.- MalaysiaGazette