Muhammad Sanusi Md Nor-. Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Tindakan dan langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah berlandaskan perintah Allah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau khuatir disoal oleh Tuhan jika tidak melaksanakan arahan Allah ketika dia mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian.

Muhammad Sanusi menegaskan, beliau tidak akan membatalkan sebarang keputusan yang telah diambil.

“Kita buat sebab Allah suruh. Apa saya nak jawab depan Allah kalau saya tak buat waktu saya diberi kesempatan untuk buat? Kita dah buat keputusan. Kita jalan terus,” kata Sanusi dalam hantaran di laman Facebook.

Sementara itu Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, beliau tidak sama sekali rasa tergugat kepada pihak yang cuba mengganggu keputusan yang telah dibuat oleh pentadbirannya.

Menurutnya, beliau tidak berasa bimbang dengan provokasi yang dilakukan terhadap dirinya dan kerajaan Kedah.

“Hangpa nak koyak, biaq pi kat hangpa. Hangpa nak kacau, saya tak takut. Saya ada Allah,” kata Muhammad Sanusi.

Dalam hantaran di Facebook, Muhammad Sanusi tidak memberi penjelasan isu yang menyebabkan dia mengeluarkan kenyataan tersebut.

Artikel berkaitan:

Bagaimanapun pemimpin Pas itu menjadi perhatian selepas menutup sepenuhnya operasi premis perjudian dan loteri di Kedah pada 1 Januari lalu.

Tindakan itu diambil susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Muhammad Sanusi turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.

Muhammad Sanusi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat lebih besar kepada penduduk, selain bagi mencapai sasaran sifar judi.

DAP Kedah antara yang membantah tindakan yang diambil oleh Muhammad Sanusi.

Setiausaha DAP Kedah Teh Swee Leong berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.

Beliau berkata, langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial. – MalaysiaGazette