beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Pas menerusi Dewan Ulamanya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Awnar Ibrahim agar mengikut jejak kerajaan negeri Kedah menamatkan operasi premis perjudian dan loteri.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkataa, adalah tidak wajar untuk Kerajaan Perpaduan berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.

“Ketengahkan dasar yang mendidik rakyat dalam neraca manusiawi yang betul berpandukan agama.

“DUPP yakin dan percaya tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana.

“Bahkan, lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat. Justeru, pelaksanaan dasar yang tegas terhadap judi wajar dilaksanakan tanpa syarat,” gesa Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad merujuk kepada langkah kerajaan negeri Kedah yang menamatkan operasi premis perjudian dan loteri di negeri itu susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, operasi semua premis itu di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian bermula hari ini.

“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri untuk memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada premis judi yang masih beroperasi.

“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember (semalam) dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, Kedah mencatatkan rekod tersendiri apabila menjadi negeri ketiga yang menamatkan lesen perjudian di bawah Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas selepas Kelantan dan Terengganu.

“Di sebalik pelbagai reaksi yang meragui kemampuan negeri meneruskan kelangsungan akibat penutupan premis judi ini, Kedah mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021, menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu.

“Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka. Inilah tunjang keberkatan daripada Yang Maha Esa insyAllah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada lagi premis judi, loteri di Kedah, bermula hari ini