MELAKA – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu dan menipu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM95,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Shamsubahrin Ismail, 57 yang juga pengasas perkhidmatan teksi premium, Big Blue Taxi membuat pengakuan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan memperdayakan beliau supaya mempercayainya untuk mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model tahun 2019 berharga RM180,000 dengan nombor pendaftaran khas VVP 7.

Kesalahan itu juga dengan curangnya telah mendorong mangsa untuk menyerahkan kepada tertuduh wang tunai sebanyak RM95,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama kerana menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri bagi tujuan keuntungan peribadi.

Sabit kesalahan boleh didenda minimum RM250,000 sehingga RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Speaker DUN Melaka, Aras 2, Blok Laksamana Seri Negeri, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Disember 2021.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Tertuduh diwakili peguam, Loh Chon Mee bagaimanapun dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi untuk rawatan kemoterapi akibat kanser kolon dan dialisis.

Anak guamnya berusia 56 tahun juga katanya terpaksa menggunakan pendapatan sebagai ahli perniagaan untuk menjelaskan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM110,000 bagi empat kes mahkamah di Kuala Lumpur.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan melapor diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 7 Februari ini untuk serahan dokumen – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast