KUALA LUMPUR – Semangat berpasukan yang luar biasa dan ingin membantu tonggak-tonggak muda menjadi dua faktor kepada penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali menerima tawaran Kuching City FC pada musim 2023.
Norazlan jelas tertarik melihat pencapaian Kuching City pada musim lalu yang berjaya mara ke suku akhir TM Piala Malaysia 2022 selain menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Premier.
Di bawah kendalian jurulatih paling berpengalaman di Liga Malaysia, Irfan Bakti, dia yang tidak menafikan perkara tersebut turut mempengaruhinya untuk pertama kali melebarkan karier ke Borneo.
“Irfan yang mengajak saya datang ke sini kerana beliau memerlukan lebih ramai penjaga gol berpengalaman kerana musim 2023 akan berbeza kerana perlawanan lebih banyak berikutan perubahan format liga.
“Saya ada ikuti perkembangan Kuching City pada musim lalu dan kagum melihat semangat pasukan ini, seperti mana ‘motto’ pasukan iaitu ‘pasukan kecil berjiwa besar’.
“Walaupun tidak dibarisi nama-nama besar, Kuching berjaya berikan cabaran hebat kepada pasukan lain terutama semasa tewas kepada Sabah di suku akhir TM Piala Malaysia selain aksi konsisten di Liga Premier.
“Kehadiran saya di sini juga sedikit sebanyak untuk membantu Irfan terutama dalam aspek memantau pemain-pemain muda serta memberikan panduan kepada mereka,” katanya.
Berusia 38 tahun, Norazlan dijangka menjadi antara penjaga gol paling senior yang beraksi di Liga Malaysia selain Farizal Marlias dan Wan Azraie Wan Teh (kedua-duanya berusia 37 tahun).
Bekas penjaga gol kebangsaan itu pernah beraksi dengan banyak pasukan ternama Liga Malaysia seperti Selangor(2011-13,2015-18), Johor Darul Ta’zim (JDT) (2014), Felda United (2019) dan Kuala Lumpur (2009-11).
Musim lalu, dia melakukan sembilan penampilan iaitu lapan Liga Super dan satu Piala FA bersama Melaka United apabila bersaing dengan Bryan See bagi kedudukan penjaga gol utama musim 2021 memperlihatkan dia hanya beraksi sebanyak empat perlawanan secara keseluruhan.
Di Kuching City, Norazlan dijangka menerima cabaran dari Shaiful Wazizi untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama selain Wan Azraie.
Namun, Norazlan menganggap itu sebagai satu persaingan sihat selain sedia membantu ‘The Cats’ memburu kedudukan yang boleh dihormati di Liga Super selain mara sejauh mungkin dalam kejohanan Piala FA dan TM Piala Malaysia.
“Sememangnya persaingan cukup sengit kerana termasuk saya, ada empat penjaga gol yang disenaraikan dan saya perlu bekerja keras kerana peluang dilihat sama rata.
“Tiada sebarang jaminan sesiapa boleh menjadi penjaga gol utama tetapi sesiapa sahaja yang terpilih, kami akan pastikan Kuching City mampu melakar sesuatu yang lebih hebat dalam Liga Malaysia.
“Saya optimis dengan sejumlah besar pemain muda berbakat selain dibantu pengalaman Irfan, Kuching City boleh menghasilkan banyak kejutan pada musim ini,” katanya. – MalaysiaGazette