Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Cadangan untuk menghapuskan pencen bekas anggota Kabinet sebelum ini adalah tidak munasabah, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkaitan pencen semua bekas anggota Kabinet termaktub kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Apa-apa tindakan dan yang war-war kononnya Kerajaan Perpaduan ini menimbangkan untuk menghapuskan pencen dan pengurangan itu semua tidak muhasabah.

“Isu ini yang sentuh Perlembagaan dan harus diteliti oleh semua pihak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, hari ini.

Anwar berkata, langkah yang diambil oleh pentadbirannya hanya menarik balik kemudahan yang diberikan kepada anggota Kabinet, antaranya kemudahan kereta.

“Yang saya lakukan adalah bekas-bekas Menteri yang baharu ini dapat kemudahan biasa dan kereta, semua itu saya batalkan.

“Setakat ini lebih baik dari segi pentadbiran dan tidak melibatkan perlembagaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang mencadangkan agar kerajaan tidak perlu lagi memberi pencen kepada bekas anggota Kabinet kerana ia dibayar berdasarkan cabang sistem eksekutif, bukan legislatif dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.

“Jika mengikut sistem kerajaan sekarang, bagi pencen bekas Ahli Parlimen yang layak sahaja, kita (kerajaan) menanggung lebih kurang RM10 juta perbelanjaan setiap tahun.

“Sebanyak 99 peratus daripada kutipan cukai negara digunakan untuk perbelanjaan mengurus seperti pencen anggota Kabinet dan hanya satu peratus sahaja digunakan untuk pembangunan,” katanya dalam satu laporan, semalam.

Cadangan itu membolehkan kerajaan berjimat antara RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast