Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Kes rogol di Pahang meningkat sebanyak lima kes atau pertambahan 4.42%  sepanjang tahun 2022.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan kajian yang dibuat sebanyak 75 kes berunsur paksaan manakala 43 kes  hubungan seks secara sukarela.

“Kajian juga menunjukkan seramai 84 orang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan 21 orang berumur 17 tahun ke atas yang menjadi mangsa rogol.

Ramli berkata, perkara tersebut membimbangkan justeru mengharapkan kerjasama di peringkat ibu bapa serta pihak sekolah  membendung daripada berlakunya peningkatan kes pada masa akan datang.

Sementara itu Pahang telah mencatatkan jumlah jenayah sebanyak 1,886 kes berbanding 2,057 kes dalam tahun 2021, penurunan 171 kes bersamaan 8.31% berbanding 2022.

Indeks kekerasan mencatatkan 397 kes iaitu penurunan 4.11% manakala jenayah harta benda pula mencatatkan 1,489 kes iaitu penurunan 9.37%.

Selain itu, curi motokar sebanyak 89 kes, meningkat sebanyak 20 kes atau 28.99%  berbanding tahun sebelumnya.

Kes kecurian motokar berlaku di kawasan luar bandar iaitu  di kawasan perumahan dan pinggir jalan iaitu sebanyak 81 kes.

“Keseluruhan jenayah berjumlah 1,886 tahun ini dan sebanyak 996 kes atau 52.8%  berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini.

Ramli berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Pahang turut membuka sebanyak 2,217 kertas siasatan bagi kes-kes jenayah dan bukan jenayah 4,103.

Dari jumlah 4,103 kertas siasatan, pihak JSJ berjaya mendakwa 2,118 atau 51.6% kertas siasatan dan ianya lebih dari separuh jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang (JSJN) telah merekodkan sebanyak (11,246) kes berkaitan pelbagai kesalahan melibatkan dadah dengan jumlah (12,659) tangkapan.

Sebanyak  22,512 kes kemalangan direkodkan membabitkan 447 kematian telah direkodkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang pada tahun 2022. – MalaysiaGazette