Zairil.

GEORGE TOWN – Kolam takungan pecah di Gunung Inas, Baling, Kedah dipercayai punca krisis air di selama enam hari di Pulau Pinang, pada Julai lalu.

Ia berdasarkan laporan yang dibentangkan Panel Penyemak Bebas (PPB) kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kolam takungan yang pecah itu menyebabkan berlaku banjir lumpur di kawasan tadahan ‘upstream’ Sungai Kupang dan mengalir turun ke Sungai Ketil sehingga ‘downstream’ Sungai Muda.

Jelasnya, kejadian banjir lumpur itu juga menyebabkan kekeruhan air Sungai Muda melebihi tahap 3,000 NTU yang mana Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Dua terpaksa dihentikan kerana tidak dapat menampung NTU yang tinggi melebihi tahap maksimum.

“Penutupan LRA yang terbesar di Pulau Pinang ini mengganggu sistem pembekalan air di negeri ini.

“Terdapat beberapa isu teknikal yang berlaku sepanjang tempoh pemulihan krisis seperti masalah ‘air locks’ serta tekanan air rendah turut memberi kesan khususnya kepada perumahan bertingkat dan lokasi yang tinggi hingga terpaksa mengambil masa bagi sampai ke lokasi berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga kejadian paip yang pecah akibat daripada tekanan tinggi semasa proses pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Zairil, susulan itu PPB mencadangkan beberapa langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang selain menyokong inisiatif kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam melaksanakan ‘Raw Water Contigency Plan 2030’ bagi memastikan kejadian krisis air tidak berulang di Pulau Pinang.

“Antara pelan jangka pendek yang dicadangkan ialah pemasangan sensor di beberapa lokasi upstream muka sauk Lahar tiang; penguatkuasaan bagi pemasangan sistem pengumpulan air hujan (rainwater harvesting) bagi kegunaan bukan mudah alih (non-portable) selain minuman, serta kajian awal reka bentuk dan penerokaan sumber alternatif dengan memulakan projek perintis seperti air bawah tanah ‘ground water’ dan sumber permukaan air lain.

“Bagi pelan jangka sederhana pula dicadangkan supaya dilakukan kempen kepada orang awam mengenai kepentingan pemuliharaan sungai; memperkasakan komuniti sungai dan melamukan penguatkuasaan pemasangan peranti penjimat air (water saving device) di semua bangunan perumahan dan tempat awam.

“Manakala bagi pelan jangka masa panjang, peranan Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) akan dikuatkuasakan sebagai pihak Berkuasa Air Negeri seperti mana yang  dilaksanakan di negeri lain bagi memastikan Pengurusan Air Negeri yang lebih efektif, ” kata Zairil. – MalaysiaGazette