Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan gagal mengisytiharkan aset RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Tan Sri Shahrir Ab Samad bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jalil Hussin membuat keputusan itu mengikut peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah hari ini selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi FELDA itu.

Difahamkan pendakwaan juga tidak akan meneruskan dakwaan terhadap tertuduh pada masa ini.

Pada mulanya, pendakwaan memohon untuk membebas tanpa melepaskan (DNAA) Shahrir.

DNAA bermaksud tertuduh masih boleh didakwa atas kesalahan sama pada masa akan datang.

Sepatutnya hari ini, Najib dijangka memberi keterangan sebagai saksi dalam kes ini.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bharu sedang didakwa atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, kepada LHDN.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast