ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis akan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) keberadaan semasa pasangan warga Rusia dalam negara ini untuk membantu kes pencerobohan dan memanjat Menara Merdeka 118 dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai maklumat terperinci pemilik asal akaun media sosial yang mengaitkan pasangan itu sudah diperoleh hari ini.

“Namun, hasil analisa terhadap laporan SKMM dan pemantauan polis tidak dapat menghasilkan bukti-bukti yang cukup positif untuk mengaitkan dengan mana-mana individu sebagai pemilik akaun tersebut.

“Akan tetapi, polis akan mendapatkan maklumat dengan kerjasama JIM mengenai pasangan warga Rusia itu bagi mengenal pasti rekod keluar dan masuk mereka ke Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette tengah hari tadi.

Dalam perkembangan sama, Noor Dellhan juga menambah, video tular yang memaparkan tindakan pasangan yang berdiri di puncak Menara 118 itu juga akan dianalisa oleh makmal forensik polis untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, setakat ini seramai sembilan individu termasuk pihak pengurusan Menara Merdeka 118 juga telah dipanggil dan selesai dirakam percakapan untuk membantu siasatan lanjut polis.

Ssementara usaha mengesan pasangan yang sangat dikehendaki itu dipergiatkan oleh polis.

Pada 29 Disember lalu, polis telah menerima satu laporan dari pihak Menara Merdeka 118 di Balai Polis Tun H S Lee yang memaklumkan pasangan Rusia yang menceroboh dan memanjat ke puncak bangunan tersebut.

Gambar pasangan warga Rusia bernama, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau sedang  berdiri di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia telah dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com sebelum tular di media sosial sehingga menerima kecaman warga netizen. – MalaysiaGazette