PELABUHAN KLANG – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal menyiapkan projek berkepentingan awam meskipun mendapat suntikan daripada Kementerian Kewangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, syarikat terlibat tidak akan terlepas daripada siasatan pihak berkuasa.
“Bila (projek) ada masalah, kalau ianya terkait dengan masalah kewangan, walaupun ini cerita kerajaan lama, kerajaan baharu tampil membantu.
“Dalam proses itu, ada kelemahan, kita dengar kelemahan itu, kat mana kita boleh bantu pulihkan.
“Itu bukan bermaksud kerajaan kompromi terhadap salah urus, ketirisan atau salah laku tidak elok yang membawa kepada kelewatan dari segi penyampaian,” katanya pada sidang media di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE), Pulau Indah, di sini, hari ini
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meluluskan suntikan pinjaman RM152.6 juta bagi membolehkan pembinaan kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) dapat disiap dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di dalam tempoh setahun.
Anwar berkata, projek OPV diambil alih Kementerian Kewangan daripada syarikat Tabung Haji iaitu Destini Sdn Bhd selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.
Syarikat THHE Destini memperolehi kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah kapal OPV untuk APMM di dalam tempoh 42 bulan.
Dalam pada itu, beliau yang turun padang untuk melihat sendiri perkembangan semasa pembinaan OPV hari ini tidak memberi tumpuan kepada salah laku kelewatan kapal maritim itu disiapkan mengikut jadual.
“Saya tak fokus kepada aspek siasatan, saya turun segera setelah Kabinet memberi suntikan pinjaman baharu.
“Lebih adil untuk saya dan timbalan saya turun tengok sendiri, berinteraksi dengan pasukan terlibat dengan pembinaan, kemudian mendengar sendiri daripada mulut pelanggan iaitu APMM.
“Apakah punca masalah, jalan keluar, itu tanggungjawab saya kemudian mengangkat maklum kepada Kabinet jika diperlukan untuk saya sampaikan.
“Saya mahu ianya disiapkan segera, sebagai kerajaan, kita kena tengok begini, projek ini kita anggap berteknologi tinggi dan industri strategik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette