Kru dan pekerja asing ditahan di sekitar perairan Kuala Selangor pada jam lebih kurang 10.30 malam semalam.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran yang sah di sekitar perairan Kuala Selangor pada jam lebih kurang 10.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, bot itu ditahan ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 4.3 batu nautika Kuala Selangor oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam OP Ehsan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh dua warga tempatan, masing-masing berusia 64 dan 57 tahun serta tiga warga asing berumur antara 32 hingga 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati kesemua kru warga asing mempunyai pengenalan diri sah namun gagal mengemukakan permit yang sah ketika diminta penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Bot nelayan tempatan Kelas C yang ditahan ileh Maritim Malaysia.

Jelas Siva Kumar, bot bersama kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang- undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara. – MalaysiaGazette