V. Sivakumar

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) berpandangan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) wajar dijadikan sijil tunggal dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut menterinya, V Sivakumar, langkah itu perlu diambil ekoran kecelaruan pelaksanaan TVET di negara yang berpunca daripada kewujudan pelbagai pensijilan TVET.

“Adalah wajar agar Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM)  berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah kawal selia JPK ditetapkan sebagai persijilan tunggal TVET negara untuk semua program TVET Tahap 1 hingga 5 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Penyeragaman program TVET tahap 1 hingga 5 berasaskan SPKM dalam MQF ini akan menjadi satu wadah baharu dalam memperkasakan TVET negara,” katanya dalam majlis Amanat Tahun Baharu di kementeriannya, pagi ini.

Sivakumar berkata, sebagai penyedia TVET, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu menilai semula kursus-kursus yabg ditawarkan agar ia menepati keperluan semasa industri.

“Langkah ini agar tidak wujud sindrom mismatch. Kursus-kursus yang ditawarkan perlu ditambah baik dengan elemen-elemen digitalisasi, automasi dan lain-lain yang selari dengan keperluan Revolusi 4.0,” katanya lagi.

Semalam, Sivakumar berkata, kementeriannya kini giat menggerakkan kerja yang lebih komprehensif dalam memastikan agenda memartabatkan dan memperkasa TVET.

Ia selaras dengan keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 7 Disember lalu untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada KSM.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, KSM perlu menggunakan kesempatan ini untuk mempersadakan dan memartabatkan imej TVET negara.

“KSM perlu mengetuai inisiatif untuk memberikan imej baharu kepada TVET supaya TVET tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua ataupun pilihan alternatif.

“KSM perlu menilai pendekatan dan keberkesanan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sebagai pendekatan cepat menang dalam melahirkan pekerja-pekerja tempatan yang berkemahiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast