Haniza menemui Sim Chon Siang setelah dimaklumkan keadaan anaknya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar

KUANTAN – Ibu mana boleh tidur nyenyak apabila mengetahui anaknya kini menjadi mangsa mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar?

Haniza, 52, mengakui tidak senang duduk dan runsing memikirkan nasib serta keselamatan anaknya yang terjebak dengan tawaran kerja paslu sejak tiga bulan lalu.

Ibu yang buntu itu mengharapkan bantuan Kerajaan Malaysia membantu dan menyelamatkan serta membawa anaknya yang berusia 26 tahun pulang ke Malaysia.

“Kami sekeluarga sudah tidak tentu arah selepas mendapat tahu perkara ini.

“Jadi, saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Luar dan  polis agar membantu membawa pulang anak saya dan lima individu lain yang menjadi mangsa sindiket di Myanmar.

“Tolong bantu anak saya dan mangsa lain,” kata Hazniza sayu.

Menurut Haniza, kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya pada 30 Oktober lalu untuk bertanya khabar tetapi anaknya tidak memaklumkan di mana dia berada.

Tetapi, sebelum itu, mangsa pernah memberitahu kakaknya  bahawa  dia sedang menguruskan urusan pasport untuk memohon pekerjaan  di Singapura pada 7 September 2022.

Haniza menganggap semua berjalan lancar sehinggalah beliau dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang yang memaklumkan keadaan sebenarnya anaknya yang kini berada di Myamar.

Wanita yang menetap dari Setiu, Terengganu telah bertemu dengan Sim dan ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut..

Sementara itu, Sim memaklumkan mangsa sendiri menghubunginya beberapa hari yang lalu memaklumkan situasi dan beliau berusaha menghubungi waris mangsa supaya tindakan susulan dapat dilakukan segera.

Sim yang juga Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang berkata, dia menemui ibu mangsa untuk memaklumkan situasi anaknya yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan.

“Laporan polis perlu dibuat oleh keluarga mangsa bagi membolehkan misi menyelamat dilakukan menerusi kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara,” kata Sim.

Sim juga mendakwa telah dihubungi hampir 40 lagi mangsa dalam kes berasingan yang memohon untuk diselamatkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast